comscore
Tumpuan :
Jenayah

Rakyat Malaysia terlibat kes seludup dadah lebih RM789 juta ke Australia

KUALA LUMPUR: Ahli sindiket dari Malaysia didapati terlibat dalam kes penyeludupan dadah seberat 336 kilogram (kg) melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Polis Diraja Malaysia juga sudah mengenal pasti syarikat dan individu yang mempunyai kaitan langsung dalam kes berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati “consignment” bagi penghantaran dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM789.56 juta itu dihantar, 28 Februari lalu menggunakan kargo melalui laluan laut dari Malaysia dan tiba di Brisbane, Australia, 13 Mac lalu.

“Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengenalpasti modus operandi dan pembabitan syarikat berkaitan penghantaran ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai tindakan diambil kerajaan berhubung insiden penyeludupan dadah ke Australia melalui kapal dari Malaysia yang bertolak melalui Pelabuhan Klang.

Pada 10 April lalu, pihak berkuasa Australia dilapor merampas 336 kg heroin bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata Pasukan Sempadan Australia (ABF)  mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500 kg.

Semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

Loading...
Terkini