comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Salah guna aplikasi dalam talian semata-mata ponteng puasa?

Oleh: Mohd Fareez Azman

PETALING JAYA: Bulan Ramadan amat ditunggu-tunggu umat Islam dalam melipat gandakan ibadah kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Puasa adalah benteng (perisai), maka (orang yang melaksanakannya) janganlah berbuat kotor (kejahatan) dan jangan pula berbuat perkara bodoh (kesalahan dari segi perbuatan dan perkataan). Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah ‘aku sedang berpuasa’ sebanyak dua kali.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

Di sebalik bulan penuh keberkatan ini, golongan ponteng puasa atau selalu digelar ‘geng beg plastik hitam’, mula mencemari bulan suci dengan memuaskan nafsu mereka di siang hari.

Jika dahulu geng ini ke sesetengah kedai makan untuk mendapatkan makanan dan minuman di siang hari, ada yang mengikut pintu belakang semata-mata mengelak dikesan pihak berkuasa.

Salah guna aplikasi dalam talian

Kini, taktik mereka berubah dengan menyalah gunakan aplikasi perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian yang lebih mudah.

Kami cuba menyelami kisah beberapa individu yang tampil ke depan berkongsi cerita mereka.

Zaid (bukan nama sebenar) berusia awal 20-an mengakui culas atau ponteng puasa sejak di bangku sekolah kerana terpengaruh dengan kawan-kawan.

“Pada mulanya kawan saya ajak tetapi saya tidak mahu (ponteng puasa), tapi esoknya dia buat lagi.

“Saya dah mula tertarik bila dia tunjuk nasi kandar, sejak itu saya mula tak puasa.

“Masuk universiti saya tidak puasa, masuk kerja pun saya biasa tak puasa sebab jumpa kawan-kawan (geng plastik hitam),”katanya ketika ditemubual Buletin TV3 baru-baru ini.

Rasa bersalah tetapi tidak dapat tahan nafsu

Bila ditanya sama ada rasa bersalah apabila tidak puasa, jelas Zaid, perasaan itu ada tetapi beliau gagal menahan nafsu makan di siang hari dalam bulan Ramadan.

“Susah nak puasa, bila sampai Ramadan tu memang teruja, tapi saya dah cuba. Mungkin sebab dah biasa tak puasa, jadi susah untuk saya puasa walaupun saya tahu berdosa,”katanya.

Pengalaman sama dikongsi seorang lagi individu yang hanya dikenali sebagai Junaidi, berusia awal 30an.

Berasal dari salah sebuah negeri di selatan tanah air, jelas Junaidi, beliau culas puasa kerana terlalu fokus kepada kerja.

Alasannya, jika tidak makan dan minum, prestasi kerjanya akan menurun dan itu membuatkannya tidak berpuasa.

“Saya mula tak puasa selepas habis belajar (universiti), bila mula kerja dah jadi ‘habit’ pula.

“Bila masuk Ramadan, memang nak puasa dan saya cuba tapi masih tak boleh. Pernah saya pertikai diri saya sebab tak sama macam orang lain, tapi bagi saya ini masalah saya hadapi (gagal menahan nafsu) tak sama dengan orang di luar sana,”katanya.

Meskipun tahu, kewajipan seorang Islam untuk berpuasa, namun pernah terdetik di hati Junaidi untuk berubah.

“Pernah terdetik di hati nak berubah, saya cuba jauhkan diri daripada kawan-kawan yang culas puasa ni, saya harap satu hari nanti saya akan jadi seorang muslim yang lebih baik,”katanya lagi.

Penghantar makanan

Bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai isu ini, kru kami bertemu dengan beberapa penghantar makanan bagi mendengar pengalaman mereka berdepan dengan golongan ini.

Ahmad, penghantar makanan di Lembah Klang mengakui pernah berdepan situasi itu.

“Ada bang, tahun lepas seingat saya. Biasa kalau kita hantar makanan, kalau rumah teres kita letak di pagar, kalau kondominium kadang kala pelanggan minta kita hantar sampai depan rumah mereka,”katanya.

Bukan hanya Ahmad, malah seorang lagi penghantar makanan yang hanya ingin dikenali sebagai Ramli juga berdepan situasi sama.

“Kejadian ini tahun lepas, terkejut juga saya bila pelanggan tu pesan makanan adalah orang kita (lelaki) pada tengahari.

“Ada juga yang minta saya hantar ke rumah sebab alasan jaga anak, bila sampai di rumah rupanya rumah bujang. Macam-macam karenah saya jumpa bang, tapi kita kerja je,”ujarnya.

Perlu ada garis panduan

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar pula berpendapat mungkin perlu ada satu garis panduan baharu ketika bulan Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar

“Isu culas atau ponteng puasa ini memang satu isu yang berlaku dalam masyarakat kita.

“Mungkin kita perlu melihat dan berbincang dengan penyedia perkhidmatan ini untuk meletakkan satu garis panduan yang khusus dalam bulan Ramadan,”katanya.

Jelas Mohd Naim, kempen kesedaran serta penguatkuasaan telah dijalankan sekian lama dan tidak pernah berhenti untuk membantu golongan ini berubah.

“Bila dia meninggalkan solat berdosa, berdosa juga meninggalkan puasa, dari sudut hukum tidak boleh kecuali dengan keuzuran dibenarkan kalau orang perempuan dan orang sakit….tetapi isunya orang yang berkemampuan tapi culas cuai untuk melaksanakan kewajipan ini.

“Dalam keadaan semasa ini, Allah SWT nak uji kita (dengan kelebihan teknologi). Maka kita gunakan kemudahan (perkhidmatan penghantar makanan) bukan untuk kita jadi culas meninggalkan kewajipan kepada Allah SWT.

“Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa – (Surah al-Baqarah, 2: 183).

Dari sudut kesedaran ujarnya, bukan hanya di bahu pemimpin mahupun ustaz di luar sana, malah masyarakat juga perlu memainkan peranan menasihati golongan ini sekiranya wujud dalam keluarga mereka.

“Allah SWT juga berfirman, setiap seorang kamu adalah pemimpin bagi diri kamu dan kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kamu lakukan ke atas diri kamu juga.

“Jadi di kesempatan ini ingin saya menyeru agar masyarakat juga memainkan peranan dengan memberi nasihat kepada golongan culas puasa ini, agar mereka berubah,”katanya lagi.

Cerita ini bukan bukan untuk menunding jari kepada mana-mana pihak terutama syarikat penyedia penghantar makanan dalam talian, kerana itu adalah asas perniagaan mereka.

Malah perkhidmatan ini banyak memberi kelebihan dan membantu masyarakat terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita pernah hadapi sebelum ini.

Sebaliknya, golongan geng plastik hitam yang menyalah gunakan perkhidmatan ini memberi imej yang buruk terhadap umat Islam di negara ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini