KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) mengakui pangkalan haram menjadi pilihan rakyat negeri ini untuk ke Golok, Thailand.
Difahamkan, tambang yang dikenakan oleh pengusaha bot di pangkalan haram sekitar RM3 hingga RM4 bagi perjalanan sehala.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, ia berikutan terdapat banyak pangkalan haram sepanjang Sungai Golok terutama di Rantau Panjang.
“Di peringkat PGA, kita sentiasa meningkatkan dan memperketat kawalan di sepanjang Sungai Golok, namun pada masa sama kita juga berdepan kekangan keanggotaan.
“Disebabkan itu, kita memberi tumpuan utama di beberapa pangkalan haram terutama di pekan Rantau Panjang yang menjadi tumpuan orang ramai supaya pergerakan di Sungai Golok dapat dikurangkan.
“Sukar untuk mengekang daripada berlakunya pergerakan Sungai Golok memandangkan keadaan sempadan yang panjang dan terbuka.
“Bagaimanapun kita berusaha sebaik mungkin dengan mengadakan tinjauan dan rondaan bagi mengelak berlakunya jenayah rentas sempadan,” katanya dihubungi, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.