Oleh: Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Walaupun aplikasi MyJPJ telah diperkenalkan sejak Februari tahun lalu, masih ramai pengguna jalan raya yang tidak peka dengan fungsi aplikasi tersebut.
Hal ini turut memberi kesan kepada kesalahan yang berkaitan dengan pembaharuan lesen dan cukai jalan, terutama sekali ketika operasi dijalankan oleh pihak berkuasa.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, kesalahan yang paling tinggi dikesan dalam setiap operasi adalah tidak memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan untuk kenderaan persendirian, termasuk kereta dan motosikal.
“Antara alasan yang diberikan adalah mereka tidak berkesempatan atau tidak mengetahui bahawa pembaharuan lesen atau cukai jalan boleh dibuat secara dalam talian. Kebanyakan mereka masih beranggapan perlu pergi ke pejabat pos atau kaunter JPJ.
“Perkara ini saya perlu maklumkan kepada semua pengguna jalan raya sebab kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri operasi khas sempena Tahun Baru Cina 2025 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Puchong Selatan, di sini, hari ini.
Sepanjang operasi yang dijalankan sejak Isnin lalu, sebanyak 9,091 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Daripada jumlah tersebut, 7,006 notis melibatkan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan tidak memperbaharui cukai jalan.
“Sebanyak 31,779 kenderaan telah diperiksa, dengan 4,280 kenderaan diambil tindakan, termasuk menyita 54 buah kenderaan atas pelbagai kesalahan,” tambah beliau.
Operasi khas ini, yang akan berlangsung sehingga 9 Februari melibatkan 2,500 anggota akan dijalankan di seluruh negara dengan tumpuan kepada sembilan kesalahan utama yang sering berlaku di jalan raya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.