comscore
Tumpuan :
Nasional

Ramai tidak membeli ayam, daging – Peniaga

Oleh: Nadhirah Akmam & Ain Shafiqah Zaki

SELAYANG: “Tiada masalah bekalan cuma harga yang menjadi kegusaran,” itu reaksi sebilangan peniaga ayam dan daging yang ditemui di Pasar Harian Selayang ketika kru Buletin TV3 meninjau bekalan barangan asas itu menjelang Ramadan.

Kata mereka sikap pelanggan yang lebih memilih untuk berjimat-cermat antara faktor bekalan sentiasa ada di pasaran.

Seorang peniaga ayam, Mohd Azrul Abd Razak berkata dia tidak risau dan memberi jaminan bahawa bekalan stabil sehingga Aidilfitri.

“Saya rasa stok cukup sampai raya sebab bekalan ayam masih banyak.

“Cuma harganya sedikit mahal, dulu saya jual RM8.80 sekarang dah naik RM9.60 sekilogram,” katanya.

Selain itu, Samsuri Jalil yang juga merupakan seorang peniaga ayam turut sependapat dengan Mohd Azrul.

“Bekalan untuk tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas sebab sekarang ini pun kuasa membeli semakin berkurang,” jelasnya.

Manakala peniaga daging, Abdul Hamid Ahmad turut berkongsi cerita bahawa dia telah berniaga daging selama lima tahun dan bekalan pada tahun ini lebih mencukupi berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.

Namun akuinya harga bekalan telah meningkat sebanyak empat ringgit bagi sekilogram daging tempatan sejuk beku iaitu daripada RM18 kepada RM22 sekilogram sekali gus menyebabkan pelanggan berfikir dua kali untuk membeli.

Oleh kerana harga barangan kini tidak menentu, pengguna kelihatan lebih bijak dalam berbelanja dan pada masa yang sama mereka juga berharap pihak bertanggungjawab sudi mendengar keluhan pembeli.

Seorang pelanggan yang juga pekerja swasta, Kamal Abd Rahim mendesak agar pihak kerajaan turun padang bagi meninjau harga barangan khasnya ketika musim perayaan.

“Kalau boleh pihak kerajaan dan agensi-agensi tertentu pantau dan pastikan harga bekalan diturunkan menjelang musim perayaan sebab penggunaannnya akan meningkat berbanding waktu biasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini