comscore
Tumpuan :
Nasional

Isytihar sebagai alat mainan kanak-kanak, rupanya alat mainan seks lebih RM2 juta

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya merampas alat mainan seks atau ‘sex toys’ yang disyaki tidak berkastam melalui serbuan di sebuah gudang logistik di Shah Alam, Selangor.

Melalui Ops Publika yang dijalankan dari 13 Mei hingga 24 Mei lalu, ia merupakan rampasan ‘sex toys’ terbesar tahun ini dengan nilai RM 2.04 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail berkata pemeriksaan lanjut ke atas premis menemukan barangan yang dipercayai ‘sex toys’ pelbagai jenis dan jenama sebanyak 11, 220 unit.

“Modus operandi yang dijalankan adalah membuat pengikraran palsu di dalam Borang Kastam 1 sebagai mainan kanak-kanak dan dagangan tersebut dibawa ke gudang logistik untuk penyimpanan, sebelum dijual secara pukal kepada pemborong tempatan.

“Barang dagangan tersebut diklasifikasi sebagai barang Larangan Mutlak di bawah Jadual Pertama, Butiran Kelima, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, di mana sepatutnya barang-barang ini tidak boleh dibawa masuk langsung ke Malaysia,” katanya ketika sidang media di Kelana Jaya, hari ini.

Barangan yang dipercayai untuk jualan secara dalam talian dan pasaran tempatan itu bagaimanapun masih belum dikenalpasti dibawa masuk dari negara mana.

Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang dipercayai penyelia gudang ditahan untuk siasatan lanjut.

Menerusi Ops yang sama, sebanyak 3,506 liter minuman keras dan 355,100 batang rokok berjaya disita membabitkan anggaran nilai dan cukai sebanyak RM 475,267.

Sepanjang tempoh operasi, seramai 16 individu berusia 30 tahun hingga 60 tahun, termasuk warga asing ditahan bagi membantu siasatan.

“Anggaran keseluruhan nilai Ops Publika adalah sebanyak RM3,500,000, melibatkan jumlah cukai dan duti sebanyak RM1,800,000, dan jumlah keseluruhan nilai dan cukai RM5,300,000,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini