comscore
Tumpuan :
Nasional

Rangkaian Televisyen MPB rangkul 3 hadiah utama HKM MPI-Petronas 2023

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) berjaya merangkul tiga hadiah utama sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia HKM MPI-Petronas 2023, di ibu negara, semalam.

Masing-masing bagi kategori Berita Video Terbaik, Dokumentari Video Terbaik dan Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail bagi Televisyen.

Laporan berita terbitan Buletin TV9 bertajuk ‘Rumah Kecil Tapi Berlambak Bilik Sewa’ yang dihasilkan wartawan Izzatie Rizan menempakan nama selaku pemenang bagi kategori Berita Video Terbaik.

Ia sekali gus berjaya mengetepikan 65 penyertaan berita video yang dihantar oleh wartawan dari pelbagai agensi media lain.

“Alhamdulillah saya sifatkan sebagai kejayaan terbesar sepanjang karier saya selepas direhatkan pada 2018 sebab didiagnos kanser.

“Peluang atau kesempatan kedua yang diberikan Ilahi ini benar-benar mengajar saya untuk lebih menjadi wartawan yang bermutu dan membawa isu masyarakat khususnya. Saya ucapkan terima kasih dengan kemenangan ini,” kata Izzatie Rizan kepada Buletin TV3.

Laporan berita 8TV, bertajuk ‘The Tiny Seagrass on the Shallow Beach: Ocean’s Green Lung in Quiet Demise’ yang dihasilkan Chong Ao Bin memenangi gangsa dalam kategori sama.

Sementara program dokumentari ‘Nomad Terakhir’ terbitan TV3 diumumkan juara kategori Dokumentari Video Terbaik yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

“Apa yang kita nak sampaikan bahawa tidak ramai tahu kewujudan kehidupan sebenarnya orang asli batik di Gua Musang.

“Saya rasa ini salah satu anugerah yang memaparkan bagaimana rakyat ini boleh mendekati mereka dengan cara yang betul dan memahami apa sebenarnya yang mereka perlukan dan kemenangan ini untuk TV3 khususnya Puan Nini Yusof yang memberi usaha banyak untuk menjayakan dokumentari ini,” ujar Nurul Fariha Onn selaku pengarah dan penerbit.

Selain itu, wartawan program TV3, Nur Aishah Al-Husna Ramli pula berjaya merangkul hadiah utama bagi ketegori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail – Televisyen.

Bagi kategori Kewartawanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Terbaik, wartawan 8TV, Kong Keng Chung memenangi hadiah perak menerusi laporan ‘The Silent Guardians of Lush Greenery, Whispers Entwined in Symbiotic Tales of Moss and Stone.’

Dalam majlis itu juga, wartawan dan penulis, Khalidah Adibah Amin dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara.

Hadiah yang diberikan kepada wakilnya itu adalah wang tunai RM30,000, trofi berserta sijil yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manakala Hadiah Kajai dimenangi portal berita Malaysiakini yang merangkul hadiah utama menerusi siri laporannya bertajuk ‘Exposed: Shackles of rampant modern-day slave trading’.

HKM MPI-PETRONAS 2023 mencatatkan 488 karya diterima berbanding 368 pada tahun sebelumnya.

Jumlah penyertaan untuk Kategori Media Cetak dan Portal paling tinggi, selain kualiti karya yang juga menunjukkan peningkatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini