Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 yang akan diadakan di Padang Merdeka, di sini pada Isnin ini dijangka berjalan lancar, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk sambutan Hari Malaysia 2024 berkata, setelah menyaksikan raptai penuh pada Sabtu malam tadi, Sabah sebagai tuan rumah bakal menampilkan keunikannya yang tersendiri berbanding sambutan tahun sebelumnya.
“Dia setiap tahun persembahan atau sambutannya berbeza saya rasa ada keunikan bagi Sabah dan saya percaya ramai yang datang nanti bukan hanya dapat menyaksikan acara yang bersejarah tetapi juga menikmati persembahan-persembahan yang disediakan.
“Dengan penyanyi-penyanyi yang telah disusun untuk meraikan sambutan Hari Malaysia saya percaya ia akan menjadi satu detik yang bersejarah yang paling istimewa jemputlah datang beramai-ramai sekiranya anda berkesempatan 16 September 2024 jam 8.00 malam,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas meninjau perjalanan raptai penuh Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk sambutan, Datuk Christina Liew.
Jelas Fahmi lagi terdapat beberapa aspek perlu ditambah baik selepas meneliti acara raptai penuh itu dan berharap pada hari bersejarah 16 September esok persembahan yang istimewa dapat diterjemahkan dengan baik.
“Ada beberapa aspek kita minta setelah dimainkan sepenuhnya seperti pada malam sepatutnya ada beberapa perkara kita tambah baik dan ada aspek-aspek teknikal kita menerima maklum balas terutama daripada para peserta,
“Seperti isu audio ada beberapa isu tapi saya dengan pasukan dapat tanganinya dengan baik jadi setakat ini saya merasakan kita hampir ada satu persembahan yang baik dan kita cuma perlu semak beberapa perkara dan pastinya ia bakal menjadi sesuatu yang agak istimewa Isnin nanti
Jelas Fahmi lagi walaupun pada hari pertama raptai pada Jumaat malam kelmarin tidak dapat dilakukan akibat cuaca ribut namun beliau berharap cuaca dalam keadaan baik pada tarikh acara sebenar nanti.
“Kita doakan semuanya berjalan dengan lancar cuaca baik memang semalam kenapa sebab raptai teknikal tidak dapat diadakan pukul lapan kita sampai ke tapak 8.05 minit ribut tapi kita harap semalam dah ok kita harap hari akan datang cuaca menyebelahi kita,” katanya.
Christina Liew ketika ditemui pada sidang media sama turut berpuas hati dengan raptai berkenaan dan turut senada dengan pandangan Fahmi yang berharap acara pada 16 September nanti berjalan dengan lancar.
“Raptai berjalan dengan lancar saya sangat gembira berpuas hati dengan peserta-peserta yang ada di sini dengan nasihat daripada pengerusi utama, Menteri Komunikasi memberi nasihat kita harap persembahan kelak berjalan lancar di sini.
“Saya harap orang ramai terutama orang Sabah datanglah beramai-ramai untuk menjayakan bersama-sama program ini dan ini tiga tahun sekali lazimnya diadakan di Sabah tahun ini kita tuan rumah,” katanya.
Sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat kebangsaan akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah bermula jam 6 petang pada 16 September ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.