comscore
Tumpuan :
Nasional

Rasional ke caj upah potong ayam RM1.30?

Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang.

MELAKA: Caj upah potong ayam dikenakan bagi setiap sekilogram (kg) ayam adalah RM1.30?

Kejadian ini berlaku di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang.

Alasan kenaikan caj upah itu kerana harga barangan lain turut meningkat.

Walhal caj berkenaan didakwa telah pun meningkat 50 sen sejak Jun lalu atas alasan peniaga yang menampung kerugian.

Tindakan itu menimbulkan persoalan selepas kerajaan memutuskan pemberian subsidi diteruskan kepada penternak dan harga siling runcit bagi ayam standard kekal RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia.

Beberapa pembeli ditemui menyifatkan caj upah potong membebankan pengguna berikutan harga barangan keperluan lain juga meningkat termasuk ikan dan sayur-sayuran.

Shahnomri tidak bersetuju caj upah potong ayam dikenakan.

Seorang pembeli, Shahnomri Mohd Nor, 31, berkata, dia tidak bersetuju caj potong dikenakan kerana ia membebankan pengguna.

“Bagi saya harga maksimum RM9.40 bagi sekilogram ayam sudah mahal, ditambah caj upah RM1.30, macam cekik darah pula, sedangkan gaji naik sikit.

“Saya pun tidak perasan ada caj potong kerana peniaga tidak maklumkan. Sepatutnya mereka perlu jujur kepada pelanggan,” katanya yang membeli bekalan ayam setiap minggu di pasar itu.

Peniaga ayam segar, Ghazali Abu Bakar, 48, menegaskan peningkatan caj upah potong itu bagi menampung kerugian disebabkan harga ayam dikenakan pemborong melebihi harga siling.

“Bekalan ayam dari pemborong kami dapat pada harga antara RM9.40 hingga RM9.50 sekilogram. Takkan kami nak jual harga modal, apa untung kami dapat?

“Punca harga naik sebab penternak tidak dapat tampung kos makanan ayam dan bekalan anak ayam banyak mati kerana cuaca panas. Mereka tidak dapat jual ikut harga siling dan terpaksa naikkan kos.

“Jika boleh kami mohon harga ayam dinaikkan kepada RM10.70 sekilogram, tidak perlu lagi kenakan caj upah RM1.30. Tidaklah pelanggan tertanya-tanya mengapa ada caj upah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada 25 peniaga ayam di pasar terbabit pada minggu lalu berhubung caj servis tambahan RM1.30 yang dikenakan.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini