comscore
Tumpuan :
Nasional

Ratifikasi CPTPP Tepat Pada Masanya – MIER

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) percaya ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah tepat pada masanya memandangkan ia akan memudahkan secara ketara pemulihan ekonomi selepas COVID-19.

Analisis Faedah Kos (CBA) yang dijalankan untuk CPTPP oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menunjukkan dengan jelas faedah ratifikasi.

“MIER yakin bahawa CPTPP bukan saja satu langkah ke arah yang betul tetapi juga akan membantu membawa Malaysia mencapai aspirasinya untuk menjadi negara maju,” katanya dalam satu kenyataan.

MIER berkata, CPTPP bukan saja akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran global, tetapi juga kemasukan negara ahli ekonomi lain seperti Taiwan, Ecuador, Costa Rica dan terutamanya United Kingdom (UK) dan China dijangka menyediakan akses pasaran yang lebih luas dan mendalam untuk pengeksport Malaysia.

Ia berkata, memandangkan Malaysia tidak mempunyai akses keutamaan ke Kanada, Mexico dan Peru, perdagangan dengan negara berkenaan akan bertambah baik dengan ketara.

Katanya, eksport sektor seperti elektronik dan elektrik, minyak sawit, kimia, peralatan optik dan saintifik serta plastik juga akan meningkat,” katanya.

“Dalam eksport perkhidmatan, pengiktirafan bersama kelayakan profesional, lesen atau pendaftaran dalam kalangan negara CPTPP dijangka meningkat.

“Profesional Malaysia seperti akauntan, arkitek, doktor, jururawat dan jurutera dijangka mendapat manfaat daripada kemudahan mekanisme di bawah perjanjian, termasuk peningkatan mobiliti melalui peraturan yang telus mengenai mobiliti rentas sempadan golongan profesional,” katanya.

MITI dalam satu kenyataan baru-baru ini, berkata kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.

Penyerahan IOR menyaksikan Malaysia menjadi negara kesembilan telah meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

Selain Malaysia, lapan lagi negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini