Tumpuan :
Nasional

Raub daerah pertama dilanda banjir susulan MTL

Hujan berterusan sejak 11 malam tadi, menyebabkan Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali di daerah Raub dinaiki air mulai 12.30 tengah malam tadi. – Foto ihsan APM Raub

KUANTAN: Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.

Ini menyebabkan 99 mangsa daripada 25 keluarga dari dua kampung di daerah ini dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) awal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub berkata, hujan berterusan sejak 11 malam tadi, menyebabkan dua kampung di daerah itu iaitu Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali dinaiki air mulai 12.30 tengah malam.

“Pada 3.45 pagi, PKOD (Pusat Kawalan Operasi Daerah) APM Daerah Raub menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian banjir di dua kampung tersebut.

“Anggota APM Raub bergerak ke lokasi kejadian bagi membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berkaitan kejadian tidak diingini akibat banjir dan akan terus berwaspada memandangkan cuaca tidak menentu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub, mencecah 133.46 meter (m) melebihi tahap waspada iaitu 133.33m, setakat 8.30 pagi ini.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini