comscore
Tumpuan :
Nasional

Rayuan pengampunan Najib tidak dibincangkan – Khairul Dzaimee

Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

KUALA LUMPUR: Rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disahkan tidak dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang kali ini.

Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sudah bersidang buat kali ke-59 pada 28 April 2023 di Istana Negara dan mempertimbangkan 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000.

Bagaimanapun, katanya, kertas rayuan pengampunan Najib yang dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd tidak dapat dibawa ke mesyuarat itu.

“Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negeri-negeri tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Najib, 69, untuk diampun dan dibebaskan kerana kes sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya.

Pada Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib menyemak semula sabitan dan hukuman diputuskan kerana penyelewengan itu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli mempengerusikan panel lima hakim terbabit yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang; Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam permohonan itu, Najib yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, memohon membatalkan keputusan yang dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu kemudiannya dikekalkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 9 Disember 2021.

Loading...
Terkini