comscore
Tumpuan :
Nasional

RCI Batu Puteh; Tun M disapina

Tun Dr Mahathir Mohamad.-Foto: Reuters.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau disapina untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat peguamnya, Dr Mahathir berkata beliau perlu hadir pada 12 Jun depan.

Katanya, beliau dan peguamnya sudah menjangkakan akan dipanggil untuk menghadiri prosiding itu kerana menjadi pihak yang berkait dengan perkara yang dibincangkan oleh RCI berkenaan.

“Sebelum ini saya sendiri meminta untuk hadir di sepanjang prosiding ini apabila ia bermula pada 21 Mei 2024.”

“Kehadiran ini berasaskan dengan peruntukan undang-undang di dalam Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang mewajibkan saya atau peguam saya hadir sepanjang prosiding itu berjalan sehingga selesai,” katanya dalam kenyataan yang diberikan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau juga mengharapkan RCI itu diadakan secara terbuka dengan orang awam dapat mengikuti prosiding sepenuhnya.

“Ini kerana sebelum ini pelbagai tohmahan dan tuduhan dituju kepada saya secara terbuka dan mendapat laporan media secara meluas.”

“Tuduhan-tuduhan itu dibuat termasuklah oleh ahli jemaah menteri sekarang antara lain mendakwa saya membuat keputusan secara sembunyi-sembunyi dan secara sendirian.”

“Jika semua tohmahan ini dibuat secara terbuka kenapakah jawapan dan penerangan saya perlu dibuat secara tertutup,” katanya.

Beliau juga menegaskan, kesemua keputusan mengenai isu itu dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan daripada peguam-peguam dan pakar-pakar perundangan dalam dan luar negara, termasuklah mereka yang dilantik oleh kerajaan terdahulu susulan rayuan semula isu Pulau Batu Puteh.

“Selain itu, sebelum keputusan dibuat, isu ini saya bawa ke kabinet dan terdapat di kalangan ahli-ahli kabinet ketika itu sudah dilantik semula ke dalam kabinet kerajaan pada hari ini.”

“Kerana itu adalah perlu untuk saya atau peguam saya hadir untuk mengikuti prosiding ini dari awal hingga akhir untuk mengetahui adakah kesemua yang terbabit di dalam membuat keputusan dipanggil. Jika tidak, mengapa? Dan jika ada, apakah yang mereka perkatakan.”

“Jika tidak objektif RCI sebagai satu usaha ‘fact finding’ agak pincang dan tersasar dari keadilan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini