comscore
Tumpuan :
Nasional

RCI Batu Puteh: Tun M tiba di BHEUU untuk beri keterangan

Ketibaan Tun Dr. Mahathir disambut beberapa penyokongnya termasuk bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya pada jam 10.46 pagi ini.

Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu hadir memberi keterangan berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di hadapan panel RCI.

Ketibaan Tun Dr. Mahathir disambut beberapa penyokongnya termasuk bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dijalankan secara terbuka.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan sama yang dikemukakan Dr Mahathir bagi perintah melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.

Amarjeet turut menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Tun Dr Mahathir supaya dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa RCI membenarkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini