comscore
Tumpuan :
Nasional

Reaktor Triga Puspati (RTP) dijangka beroperasi hingga 2036

Oleh: Aslina Abu Bakar dan Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Reaktor Triga Puspati (RTP) yang berusia 42 tahun dijangka akan beroperasi sehingga 2036.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia sedang menjalankan kajian teknikal pelan pengganti RTP yang dimulakan pada tahun 2022 sehingga 2025 menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12).

Katanya, ia sebahagian daripada perancangan yang digariskan di dalam dasar teknologi nuklear negara melibatkan strategi pemerolehan teknologi reaktor penyelidikan termaju untuk meningkatkan rangkaian aplikasi yang lebih luas.

“Kajian kebolehlaksanaan iaitu Multi Purpose Reakctor (MPR) yang dijalankan ini melibatkan skop penilaian lesen kesan sosial ekonomi projek penyelidikan reaktor pelbagai guna termasuk kos pembinaan operasi, keselamatan dan kawal gunaan serta pengurusan sisa yang mematuhi piawaian antarabangsa.

“Kajian ini juga mengambil kira input dan cadangan daripada pihak pemegang taruh agar projek ini memberi manfaat kepada semua pihak yang berkepentingan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Ahmad Amzad Mohamed @Hashim mengenai perancangan kementerian untuk membina reaktor nuklear baharu dengan teknologi yang lebih baru dan canggih bagi menggantikan Reaktor Triga Puspati (RTP) yang digunakan sejak 1982, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, antara aktiviti lain yang dirancang termasuk melibatkan program pembangunan pelan strategik MPR dan perancangan untuk misi pakar melakukan kajian semula infrasruktur nuklear bersepadu untuk reaktor penyelidikan oleh agensi Tenaga Atom Antarabangsa.

“Dengan adanya penyelidikan baharu ini, MOSTI berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan import luar negara terhadap pelbagai jenis radio isotope bagi tujuan perubatan, industri dan biosains,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini