Oleh: Kumaran Rajamoney
GURUN: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tiada kes ke atasnya, disebalik dakwaan penglibatannya dalam kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) berkata, perkara itu perlu dibawa ke mahkamah bersama bukti dan bukan diguna untuk membina naratif yang dimainkan di pentas ceramah politik.
“Mana ada bukti apa, dia bukan tunjuk bukti apa. Dia hanya bina naratif, bina persepsi.”
“Apa-apa kes, bukti bawa ke mahkamah. Saya tak pernah buat kerja macam tu. bawa ke mahkamah, tak payah lontar di pentas ceramah,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Saifuddin bahawa Menteri Besar Kedah itu mempunyai pengetahuan mengenai insiden kecurian REE itu.
Turut dibidas Muhammad Sanusi adalah pembentukan syarikat kerjasama Prospek Suria Kedah Sdn Bhd melibatkan Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan seorang warga China, So Loi Fat pada 27 September 2019.
“Orang dah cakap, lama dah Mr So Loi Fat tu dah lama sebelum saya jadi Menteri Besar. Dia kata Lai Fat masuk dengan surat dari saya, tak betul. Tanyalah (Dr) Fathul Bari Mat Jahya, dia buat company dengan depa.”
Beliau bekata demikian ketika ditemui bersama calon PN Gurun, Baddrol Bakhtiar di sini hari ini.