Oleh: Kumaran Rajamoney
JITRA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini, membuat pendedahan terbaharu berhubung insiden kecurian bahan unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor katanya sudah melakukan lawatan ke tapak perlombongan REE itu pada Februari lalu dan telah mengetahui perjalanan dan kemusnahan akibat perlombongan REE di kawasan itu.
Lawatan itu bagaimanapun tidak disusuli sebarang tindakan perundangan seperti yang termaktub dibawah Enekmen Mineral Kedah 2004.
“Pejabat Tanah dan Galian negeri Kedah bertanggungjawab menyiasat perkara ini dibawah 7 seksyen dibawah enekmen itu. Saya telah meneliti pelbagai peruntukan dalam enekmen tersebut.”
“Sangat menghairankan walaupun isu ini sangat serius, tiada kertas siasatan dibuka untuk menangani perlombongan haram dan kecurian berterusan di hutan simpan. Bukti yang sepatutnya dipelihara juga telah dibiar untuk dimusnahkan. Maka Sanusi kena jawablah,”
Lebih mengecewakan katanya, Muhammad Sanusi bertindak berterusan menafikan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kejadian itu.
Saifuddin turut membidas usaha Muhammad Sanusi mengaitkan syarikat berkaitan perlombongan itu secara tidak tepat.
Prospek Suria (Kedah) Sendirian Berhad katanya menyenaraikan warganegara China, So Loi Fat sebagai Pengarah bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Menteri Besar Incorporated (MBI) Muhamad Sobri Osman.
“Warganegara China inilah yang Sanusi dakwa sudah ada di Malaysia sebelum dia jadi Menteri Besar. Betul, tetapi yang membantu mendapatkan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) menerusi MBI bagi warganegara China ini adalah surat dari Sanusi kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu.”
“Sanusi kata dia benarkan eksplorasi oleh Loi Fat ini, kerana sudah ada usaha berkaitan sebelum dia jadi Menteri Besar dengan syarat ianya perlu dilakukan dengan mematuhi undang-undang. Tapi pendedahan kita menunjukkan bahawa insiden yang berlaku itu jelas tidak mengikut undang-undang.”
Saifuddin menegaskan akan terus melakukan pendedahan berhubung masalah tatakelola yang mengakibatkan kecurian REE di negeri itu, disebalik amaran akan disaman oleh Muhammad Sanusi.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama DUN Jitra, di sini hari ini.