comscore
Tumpuan :
Nasional

REHDA gesa fi program rekalibrasi dikurangkan 

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain industri mengesa kadar bayaran atau fi RM1,500 bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dapat dikurangkan.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berkata, bayaran itu terlalu tinggi untuk banyak perniagaan dan pengendali, terutama industri yang melibatkan ramai pekerja.

Presidennya, Datuk NK Tong menjelaskan program itu tidak sepatutnya dijadikan sumber pendapatan kerajaan.

Malah, kerajaan disaran lebih prihatin membantu pihak industri khususnya ketika berlaku peningkatan kos.

“Yuran ini adalah terlalu tinggi untuk kebanyakan perniagaan dan pengusaha, terutamanya dalam industri di mana beratus-ratus pekerja digunakan dalam satu projek. Jumlah ini akan menambah beban kewangan yang besar yang mungkin tidak menyumbang kepada daya maju dari segi kewangan.

“Kami percaya bahawa yuran ini seharusnya dikenakan serendah mungkin untuk menggalakkan perniagaan berkaitan mengambil bahagian dalam program ini, jika tidak jumlah yang tinggi boleh menjadi penghalang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar beliau, penjimatan daripada fi lebih rendah, boleh disalurkan kepada bakal pembeli rumah dengan menawarkan harga rumah lebih murah.

Mengulas lanjut, Tong berkata, menerusi program itu, matlamat kerajaan adalah seharusnya untuk membantu pemulihan industri dan ekonomi negara, supaya syarikat boleh menawarkan lebih banyak pekerjaan kepada lebih ramai pekerja dan mendapat keuntungan untuk membayar cukai.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan kadar fi kekal RM1,500, dengan permohonan penyerataan dibuka sehingga 31 Disember depan.

RTK 2.0 melibatkan pekerja di sektor termasuk perkilangan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan dan perladangan serta pembantu rumah asing.

Loading...
Terkini