JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas selepas terjatuh di loji air berhampiran Jalan Utama, Felda Cahaya Baru, Masai di sini, petang tadi.
Kejadian ketika Mohamad Saril Masrabi sedang menjala ikan bersama tiga rakannya.
Mayatnya ditemui jam 5.25 petang kira-kira tiga meter dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu jam 4.17 petang sebelum 11 anggota bergegas ke lokasi diketuai Komander Operasi, PBK II Ramli A Hamid.
Katanya, setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati mangsa telah terjatuh ke dalam loji ketika menjala ikan di pintu air bersama rakan-rakannya.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan menggunakan peralatan seperti ‘grappling iron’ dan tali sepanjang 15 meter.
“Mangsa berjaya ditemui pada jam 5.25 petang, kira-kira tiga meter dari lokasi tempat mangsa terjatuh. Dia disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sarhan berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.