comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja 16 tahun yang dilapor hilang masih dicari polis

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bahru, Hulu Selangor. – Foto: NSTP

HULU SELANGOR: Polis masih mengesan seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang dari surau perumahan Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, di sini, pada pagi 1 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, sehingga semalam pihaknya dibantu polis kontinjen Kuala Lumpur untuk mengesan remaja berusia 16 tahun itu.

“Usaha mengesan adiknya masih kita lakukan. Sampai malam tadi pun Jabatan Siasatan Jenayah mengesan (petunjuk).

“Kita positif akan menemui remaja ini dalam masa terdekat berdasarkan risikan dan tangkapan yang kita buat,” katanya kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di Auditorium Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan hilang pada pagi 1 Januari lalu, selepas pulang dari solat Subuh di surau.

Pada malam 11 Januari lalu, seorang daripadanya ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Ibu mangsa yang berusia 39 tahun berkata, anaknya yang mesra dengan panggilan Along, mendakwa dia dan adiknya, dilarikan individu tidak dikenali dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.

Loading...
Terkini