![](https://media.buletintv3.my/2024/06/CP6R0JUg-BTV3-WORK-8.jpg)
JOHOR BAHRU: Seorang bayi lelaki bersama uri dalam keadaan berlumuran darah ditemui di tandas sebuah kompleks membeli-belah di bandaraya ini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu dari orang awam, pada jam 5.54 petang.
Katanya, bayi tersebut ditemui seorang pekerja pembersihan lebih kurang jam 4.51 petang.
“Pekerja pembersihan terbabit menemui bayi lelaki bersama uri dalam keadaan keadaan berlumuran darah.
“Susulan laporan tersebut, pada jam 8.40 malam hari sama, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBU berjaya menahan seorang remaja perempuan tempatan berumur 19 tahun di kawasan Tampoi.
“Manakala bayi lelaki yang ditemui kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Balveer Singh, hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis giat mengesan seorang lelaki warga tempatan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 317 kanun keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.