comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja 19 tahun hilang, tinggal tiga surat

Tiga surat ditemui dalam bilik Nur Fatihah selepas dilaporkan hilang dari rumah.

BATU PAHAT: Tiga keping surat yang ditemukan disyaki mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang remaja perempuan, sejak malam kelmarin.

Surat itu ditemui ahli keluarganya selepas Nur Fatihah On, 19, menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Mohd Noor, Parit Sulong, dipercayai mengikut seorang kenalan pada jam 10 malam.

Abangnya, Muhammad Hafiz, 33, berkata kehilangan Nur Fatihah hanya disedari selepas dia dan isteri pulang ke rumah selepas berniaga.

Pada malam kejadian, hanya ibunya Mirah Khamis, 84, berada di rumah tetapi tidak menyedari adiknya keluar.

“Sebelum itu, ibu ternampak Nur Fatihah mengemas pakaian tetapi tidak menjawab apabila ditanya mahu ke mana.

“Nur Fatihah ada berkenalan seorang lelaki di Selangor sejak lebih setahun lalu, namun kami cuba menasihati supaya berhati-hati, tetapi dia seolah-olah tidak mahu mendengar nasihat dan kerap memberontak,” katanya.

Jelasnya, dia dan ahli keluarga menyelongkar bilik Nur Fatihah sebelum menemui tiga keping surat yang mengandungi butiran seolah-olah dia merancang sesuatu sebelum menghilangkan diri.

“Surat itu dipercayai ditujukan kepada kenalannya dan mereka dikatakan berpakat untuk melarikan diri,” katanya sambil menambah ibu selalu bertanya ke mana anak bongsunya pergi malah kadang-kadang dia tidak makan sepanjang hari.

Muhammad Hafiz berkata, sejak akhir-akhir adiknya itu selalu memberontak dan tidak mempedulikan ahli keluarga.

“Sejak dia keluar rumah malam Rabu lalu, kami gagal menghubunginya kerana telefon sudah dimatikan. Kami berharap dia pulang segera ke rumah kerana ibu tidak sihat,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Yong Peng, semalam.

Loading...
Terkini