comscore
Tumpuan :
Nasional

Budak `kontena’ dihantar pulang ke Bangladesh ditemui lemas

PETALING JAYA: Remaja lelaki Bangladesh yang dihantar pulang Februari lalu, selepas ditemui dalam sebuah kontena perkapalan di Pelabuhan Klang, meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di kolam berhampiran rumahnya di Monohargonj di daerah Cumilla.

Laporan FMT memetik Bdnews24.Com. menyatakan Ratul Islam Fahim lemas ketika mandi seorang diri, menurut polis tempatan.

Bapanya memberitahu polis, Ratul, anak sulung daripada tiga beradik lelaki mengalami masalah mental dan tidak tahu berenang.

Faruk Mia yang juga seorang buruh harian berkata, Ratul mandi seorang diri kerana semua orang berada di sawah untuk menuai padi.

“Bagaimana saya boleh hidup selepas ini?” Faruk dipetik sebagai berkata.

Menurut Bdnews24.Com, Ratul dikebumikan tanpa pemeriksaan bedah siasat selepas keluarganya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Laporan itu menambah polis tempatan berjanji melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu.

Kisah remaja berusia 16 tahun itu menarik perhatian media antarabangsa selepas dia ditemui di dalam kontena itu, terselamat selama enam hari tanpa makanan dan minuman.

Ratul ditemui dalam kontena di sebuah dermaga di Pelabuhan Barat Pelabuhan Klang pada 17 Januari.

Ratul memberitahu pihak berkuasa pada masa itu bahawa dia bermain dalam kontena berkenaan dengan rakan-rakan di Chittagong namun akhirnya mendapati dirinya terkunci di dalam.

Ratul dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang sebelum ditempatkan sementara di bawah jagaan Yayasan Chow Kit.

Kementerian Dalam Negeri kemudian mengatur untuk mendapatkan dokumennya daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia sebelum menghantarnya pulang pada 22 Februari.

Loading...
Terkini