comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja Dakwa Nak Jaga Bayi, Bukan Jual

Foto: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang melarikan seorang bayi berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri di Taman Pauh, di sini, Selasa lalu tidak mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata siasatan polis mendapati suspek berbuat demikian kerana mahu menjaga bayi itu seperti anaknya sendiri.

“Dia (suspek) tidak sakit atau ada gangguan mental. Soal siasat polis mendapati suspek mengambil bayi itu kerana mahu menjaganya seperti anak sendiri.

“Suspek datang daripada keluarga berpecah belah dan membesar dalam persekitaran bukan seperti remaja seusianya.

“Tiada elemen dia ingin menjual bayi berkenaan kepada sindiket,” katanya ketika melawat rumah keluarga bayi berkenaan di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, suspek bersama teman lelakinya berusia 18 tahun disambung reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Kedua-duanya dijangka didakwa pada 30 Ogos ini manakala tiga lagi individu yang ditahan sebelum ini akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menjejaki lokasi bayi berkenaan melalui maklumat awal keluarga dan penduduk setempat.

Terdahulu, polis menahan lima individu termasuk seorang remaja perempuan yang juga suspek utama, selepas dipercayai melarikan bayi berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri, Selasa lalu.

Lima individu berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi di Machang Bubok di sini, dan Kulim, Kedah.

Polis menerima laporan daripada ibu bayi itu berhubung kejadian anaknya dilarikan seorang cucu pengasuh ketika wanita itu bersolat.

Loading...
Terkini