comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja lelaki ditahan selepas gambar pegang senjata api tular

Remaja itu ditahan bersama senjata api tiruan di rumahnya di sebuah kondominium di Jalan Kayu Madang, Telipok. FOTO Ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki ditahan selepas tular gambar menunjukkan dia menggunakan alat menyerupai senjata api di tingkap blok sebuah kondominium di Jalan Kayu Madang di sini, kelmarin.

Suspek berusia 15 tahun itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di rumahnya di kondominium berkenaan, jam 5.36 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai gambar tular di kumpulan WhatsApp menunjukkan seorang remaja menggunakan alat menyerupai senjata api di tingkap kondominium di Jalan Kayu Madang.

Katanya, susulan itu, sepasukan polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah rumah dan menemukan satu laras senjata api tiruan menyerupai AK47 dan sepucuk pistol tiruan.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatannya pada 9 pagi pada 2 Mac lalu bertempat di tangga, dengan menggunakan senjata api terbabit untuk menembak ke arah beberapa objek yang dijadikan sasaran.

“Suspek juga mengaku membeli dua senjata api tiruan di sebuah kedai di bandar raya ini dengan harga RM158 dan RM54,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, bertindak atas maklumat itu, pasukan polis membuat serbuan di kedai menjual senjata api tiruan di sebuah kompleks beli-belah di sini.

“Sejumlah senjata tiruan dirampas dan menahan seorang lelaki dan wanita berusia 15 dan 19 tahun yang bekerja di premis berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

 

Loading...
Terkini