comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Remaja lelaki maut bergesel dengan lori di BKE

BUTTERWORTH: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan lori di Kilometer 13.9 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu, polis menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan motosikal dan lori itu, pada jam 12.20 tengah hari.

Menurutnya, dalam insiden itu, mangsa berusia 19 tahun menunggang motosikal dari arah Kulim, Kedah ke arah Seberang Jaya sebelum bergesel dengan sebuah lori dari arah sama.

“Akibat itu, motosikal mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan dan dia parah di bahagian tangan dan kaki.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan, namun dia disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Helmi berkata, polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian itu tampil untuk membantu siasatan.

“Maklumat berkenaan boleh disalurkan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-5301342 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu tular rakaman papan pemuka berdurasi 28 saat di media sosial memaparkan kemalangan ngeri berkenaan.

Ia menunjukkan penunggang motosikal secara tiba-tiba dihimpit sebuah lori yang menyebabkan mangsa terbabas sebelum badannya tercampak sehingga terkena penghadang jalan.

Mangsa ketika itu dilihat meraung kesakitan dan memohon pertolongan orang awam sebelum dia dilaporkan meninggal dunia beberapa jam ketika menerima rawatan di hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini