comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Remaja maut dalam paya terkena renjatan elektrik

Abu Sabir di sisi mayat adiknya selepas dikeluarkan dari kawasan semak berpaya di Kampung Delima, Manggatal, Kota Kinabalu. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Luluh hati seorang abang apabila kegembiraannya pulang ke kampung sempena cuti perayaan ini, bertukar sebaliknya apabila terpaksa menatap jenazah adiknya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi tadi, mangsa Abdul Rahman Mohd Said, 15, ditemui meninggal dunia oleh orang awam dalam keadaan tertiarap di kawasan semak berpaya di Kampung Delima, Manggatal, di sini.

Abu Sabir Abdullah, 18, berkata dia mengetahui kejadian menimpa adik tirinya itu selepas dimaklumkan ahli keluarganya ketika berada di rumah.

Katanya, dia bersama bapa dan keluarga kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat adiknya di kawasan semak berpaya kira-kira 200 meter dari kediaman mereka.

“Beberapa hari sebelum kejadian, arwah adik ada menghubungi saya dan memberitahu telefon bimbitnya rosak dan meminta saya untuk membeli yang baru.

“Saya memberitahu akan pulang pada Khamis (semalam) tidak menyangka hasrat menemui adik tidak kesampaian, malah saya tidak menyangka kepulangan saya disambut dengan jenazah adik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Abu Sabir berkata, walaupun Abdul Rahman adik tirinya namun arwah seperti adik kandungnya.

“Saya sangat rapat dengan arwah… selama ini, ke mana saja saya pergi, arwah pasti ada bersama. Namun sejak saya bekerja di Kota Belud, kami sentiasa berhubung melalui telefon selama hampir setahun.

“Apabila arwah memberitahu telefon bimbitnya rosak, saya terus memaklumkan akan membeli untuk telefon bimbit baru bila saya pulang ke kampung.

“Saya sangat sedih tidak sempat menunaikan hasratnya untuk membelikan telefon bimbit yang baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata hasil pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), mengesahkan kematian mangsa disebabkan terkena renjatan elektrik.

Bagaimanapun katanya, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berada di lokasi juga membuat pemeriksaan dan siasatan bagi mengenal pasti kejadian.

“Setakat ini tidak menemukan unsur-unsur perbuatan jenayah dan siasatan kes masih diteruskan. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Loading...
Terkini