comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja Myanmar antara ditahan di kilang barangan kitar semula

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang remaja Myanmar berusia 16 tahun antara ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah kilang barang kitar semula peralatan elektronik di Klang, Selangor semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi khas di kilang yang dimiliki warga China itu turut menahan 47 warga asing pelbagai negara termasuk pengarah dan pemilik kilang.

Menurutnya, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama sebulan.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah diatur gerak ke kilang dan telah menahan seorang lelaki warga Malaysia dan seorang lelaki warga China yang berperanan sebagai pengarah dan pemilik kilang, dua lelaki warga China dan tiga wanita warga China yang merupakan Ahli Lembaga syarikat berusia antara 50 hingga 78 tahun.

“Turut ditahan seramai 36 lelaki warga Myanmar, tiga lelaki warga China, seorang lelaki warga Indonesia dan dua wanita warga Myanmar. Kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 78 tahun,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Jelasnya, hasil semakan awal mendapati dua lelaki dan seorang wanita warga China memiliki Pas Pengajian yang masih sah laku, dua wanita warga China memiliki Pas Tanggungan yang masih sah laku dan seorang wanita warga negara sama didapati tinggal lebih masa.

Sementara itu, tahanan lain dikenal pasti tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Modus operandi di kilang ini adalah memproses barangan kitar semula peralatan elektronik, kabel dan wayar bagi mendapatkan tembaga atau aluminium daripada pelbagai negara yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang.

“Barangan lusuh yang telah diproses akan dijual semula secara pukal bagi pasaran tempatan dan luar negara. Kilang ini juga disyaki menggajikan warga asing dengan bayaran sebanyak RM2500 hingga RM3000 sebulan dan menyediakan tempat tinggal di dalam kilang tersebut serta telah beroperasi selama dua tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pasukan operasi telah merampas lesen majlis, dokumen syarikat, lapan pasport pelbagai negara, empat telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM688,900.

“Saya juga bertanya kepada pegawai operasi (mengapa wang tunai sebanyak itu), kita difahamkan mereka dalam proses membayar gaji pekerja, itu dimaklumkan oleh pihak syarikat. Kita tak pasti sama ada mereka membayar gaji secara mingguan, 15 haribulan atau sebagainya. Maklumat secara sah akan kita dapat hasil siasatan nanti,” katanya.

Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Mereka kini ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut, manakala seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini