comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja perempuan lemas, terjatuh sungai ketika cuci pakaian

 

FOTO: BBP Keningau JBPM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KENINGAU: Seorang remaja perempuan ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai ketika mencuci pakaian di Sungai Ansip, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali Juliana Gabriel, 17 tahun, bukan warganegara ditemui pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, jam 7.18 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.12 petang.

FOTO: BBP Keningau JBPM Sabah

Sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 anggota termasuk pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut maklumat saksi, mangsa sedang menjalankan aktiviti mencuci pakaian sebelum jatuh tergelincir di dalam sungai.

“Pasukan Bomba menjalankan operasi SAR (Surface) dan selaman di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Pasukan bomba berjaya menemui mangsa pada jarak tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh.

“Mangsa ditemui oleh pihak bomba pada jarak 10 kaki dari tempat mangsa dilaporkan tergelincir di kedalaman 10 kaki,” kata kenyataan itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat pada jam 9.20 malam ini.

Loading...
Terkini