comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja perempuan maut, kenderaan dipandu abang rempuh tiang elektrik 

Keadaan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan di KM 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pagi tadi. – FOTO: Ihsan bomba

GUA MUSANG: Seorang remaja perempuan maut sejurus pacuan empat roda dipandu abangnya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik di Kilometer (KM) 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi tadi, mangsa, Huda Wafiah Eswady, 14, maut di lokasi kejadian manakala emaknya cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

FOTO: Ihsan bomba

Bagaimanapun abang mangsa yang memandu kenderaan, ayah dan seorang kakaknya hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 7.17 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati kenderaan pacuan empat roda model Toyota Hilux terbabas dan melanggar tiang elektrik.

“Terdapat seorang remaja perempuan tersepit dalam kenderaan. Seorang lagi penumpang belakang mengalami cedera parah dan tiga lagi cedera ringan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah dan cedera ringan dihantar ke hospital Gua Musang menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM yang hadir di lokasi.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, Operasi bomba tamat pada jam 8.20 pagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini