comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja perempuan reka cerita diculik kerana tak mahu pergi mengaji

Foto tular

KOTA KINABALU: Dakwaan seorang remaja perempuan kononnya menjadi mangsa culik sebelum dapat menyelamatkan diri, Rabu lalu, didapati hanya cerita rekaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan mendapati remaja berusia 13 tahun sengaja mereka cerita ‘diculik’ kerana enggan pergi mengaji.

Soal siasat dan rakaman percakapan mangsa, saksi dan tempat kejadian yang dinyatakan mangsa terdapat keraguan sehingga mangsa membuat cerita kononnya diculik kerana tidak mahu menghadiri kelas mengaji.

“Mangsa juga takut dimarahi pengadu (ibunya) kerana enggan mengaji,” katanya dalam kenyataan Khamis lalu.

Kasim berkata, siasatan mendapati mangsa berjalan-jalan ke Wawasan Plaza hingga didapati oleh pengawal keselamatan SEDCO berada di situ dalam tempoh lama.

Sehubungan itu, katanya remaja dinasihatkan supaya tidak mereka-reka cerita berkaitan kes jenayah kerana boleh menimbulkan panik, selain menjadi satu kesalahan membuat laporan palsu.

“Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan,” katanya.

Berikutan itu, katanya beliau mengarahkan supaya remaja terbabit diserahkan kepada ibu bapanya dan diberikan nasihat agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial dan berdasarkan apa yang tersebar, mangsa dikatakan diculik dan dibawa lari menggunakan van putih di Kampung Tanjung Aru Baru.

Mangsa turut mendakwa mulutnya ditutup bagaimanapun kanak-kanak terbabit sempat melarikan selepas penculik berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan dekat Sutera Harbour, di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini