KAJANG: Seorang remaja perempuan ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Saujana Impian di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa berusia 17 tahun dipercayai bersendirian di rumah sebelum kebakaran berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pusat gerakan menerima panggilan kejadian pada 4.20 petang.
Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Bangi serta Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi.
“Komander Operasi melaporkan kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat.
“Pasukan menemui seorang remaja perempuan dalam keadaan terbakar di dalam bilik tingkat atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 27 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi pemadaman dengan pasukan berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya.
Katanya, siasatan mendapati rumah berkenaan musnah 60 peratus.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi turut mendapat bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), forensik, polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.