comscore
Tumpuan :
Nasional

Remuk hati bila tahu anak lemas – Ibu

Ahli keluarga mangsa lemas menunggu proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Dungun. FOTO: NSTP

DUNGUN: “Abang tak pernah pergi bermain jauh dari rumah. Remuk hati saya bila dimaklumkan dia lemas di pantai itu,” kata Muhayaton Abdullah selepas anaknya itu lemas ketika berenang di Pantai Teluk Lipat, dekat sini, petang tadi.

Anaknya, Mohamad Atiff Farrouqi Zainudin, 11, dan rakannya, Muhammad Danish Mikaill Abdullah, 9, ditemui lemas selepas dihanyutkan arus kuat di pantai terbabit, kira-kira jam 3 petang.

Seorang lagi rakan mereka, Ahmad Aril Farhan Mat Zain, 11, terselamat selepas berjaya berenang ke darat.

Muhayaton, 51, berkata, Mohamad Atiff anak ke tujuh daripada lapan beradik meminta izin keluar bermain kira-kira jam 10 pagi.

“Dia beritahu nak pergi bermain dan meminta saya mengosok baju kemejanya kerana katanya dia nak bergaya macam orang pergi kenduri.

“Dia keluar dari rumah dalam keadaan nampak bergaya dan saya sama sekali tidak menyangka dia nak pergi meninggalkan saya,” katanya.

Menurutnya, kira-kira jam 2 petang, hatinya sangat risau bila anaknya itu tidak pulang makan tengah hari dan tidak mencari Mohamad Atiff kerana menganggap anaknya itu bermain tidak jauh dari rumahnya.

“Kira-kira jam 3.30 petang, Ahmad Aril Farhan dalam keadaan cemas datang ke rumah memaklumkan abang lemas.

“Saya bergegas ke pantai itu dan tidak sampai satu jam mayat abang ditemui dan remuk hati saya bila dimaklumkan anak sudah meninggal,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Danish, Nurul Maisarah Shaari, 34, berkata anaknya itu beria-ria meminta supaya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Alur Tembesu.

“Sebelum ini dia hanya duduk membantu saya menjual cendol. Saya akur dengan permintaan dia itu dan menghantar dia ke rumah neneknya kira-kira jam 1 tengah hari.

“Saya mendapat berita berlaku kejadian lemas daripada seorang rakan yang datang ke gerai,” tambahnya.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada jiran ibunya yang memaklumkan anaknya itu lemas kira-kira jam 4.30 petang.

“Saya pada mulanya tidak percaya dan sebaik sampai di pantai itu bila lihat selipar anak saya, barulah saya percaya anak saya lemas,” katanya.

Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya kira-kira 10.35 malam ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini