KUALA LUMPUR: Tindakan sebuah restoran menyorok bekalan minyak masak paket bersubsidi dalam kuantiti banyak di premisnya di sini, terbongkar pada serbuan Ops ‘Kita Gempur’, kelmarin.
Dalam operasi pada 5 petang itu, sebanyak 260 kilogram (kg) minyak masak paket dua jenama bernilai RM650 turut disita.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (KL) berkata, operasi dilakukan hasil aduan diterima pihaknya membabitkan premis itu yang menerima bekalan minyak masak paket daripada sebuah lori bonded dalam kuantiti banyak.
Menurutnya, susulan itu pihaknya menjalankan pemeriksaan dan mendapati bekalan mentah itu disimpan dalam setor berkunci di bahagian dapur premis.
“Pekerja premis diarahkan membuka kunci setor di bahagian dapur namun dimaklumkan kunci dipegang pengurus restoran, sebelum seorang lelaki tempatan tiba bagi membuka bilik itu.
“Pemeriksaan lanjut menemui 260kg minyak masak paket dalam setor berkenaan yang kemudiannya bahan mentah itu disita.
“Pemborong yang membekalkannya juga telah dikenalpasti melalui dokumen penjualan yang turut disita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KPDN WPKL berkata, restoran itu tidak mempunyai permit menyimpan barang kawalan bagi kegunaan perdagangan mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan ia adalah kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan akan dijalankan terhadap restoran berkenaan dan pemborong bahan itu.
“Pemborong barang kawalan yang diberikan lesen barang kawalan oleh pihak kementerian perlu bertanggungjawab menjual minyak masak paket kepada pasaran untuk pengguna isi rumah saja,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.