comscore
Tumpuan :
Nasional

Revolusi digital dalam landskap perhubungan awam: Menggugah paradigma baru

Perhubungan awam (PR) merupakan salah satu displin komunikasi yang bertujuan untuk membina, memelihara dan meningkatkan hubungan yang positif antara organisasi, individu, atau jenama dengan pelbagai pihak berkepentingan.

PR sering dikaitkan dengan pemeliharaan imej awam, komunikasi efektif, kemahiran menangani krisis, pembinaan hubungan dengan media, tanggungjawab sosial, serta pemantauan dan analisis untuk menilai keberkesanan sesebuah program atau kempen.

Sejajar dengan perkembangan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), PR telah mengaplikasikan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan dalam komunikasi strategik.

Pengamal PR menggunakan platform digital untuk menyelidik, menganalisis dan meramal ‘trend’ dengan lebih tepat, di samping merangka perancangan strategik yang lebih responsif kepada keperluan dan kehendak audiens.

Tambahan pula, penggunaan AI dalam penggalian data mampu membentuk inisiatif yang lebih sesuai dan relevan terhadap objektif yang ingin dicapai.

Impak transformasi digital kepada landskap PR

Secara umumnya, transformasi digital telah memberikan impak yang signifikan terhadap landskap PR. Pertama, proses komunikasi menjadi singkat dan berlaku secara waktu nyata (real-time) di mana pengamal PR boleh memberi respon kepada khalayak sasaran melalui platform digital.

Kedua, media sosial kini menjadi saluran utama sebagai strategi PR kerana ia membenarkan interaksi berlaku secara langsung untuk mendapatkan maklum balas dan membina hubungan dengan audiens.

Ketiga, proses pembuatan keputusan lebih bersandarkan kepada pendekatan data raya (big data) kerana ia mampu meramal dan memahami tingkah laku audiens secara terperinci.

Keempat, kandungan interaktif dan multimedia seperti video, infografik serta ‘podcast’ yang semakin kreatif dapat menarik perhatian audiens dengan lebih efektif.

Kelima, peningkatan pengaruh digital telah menjadi aspek penting dalam strategi PR, di mana berlakunya kolaborasi antara organisasi dan pempengaruh (influencer) untuk memanfaatkan komuniti dalam talian yang sudah wujud.

Keenam, platform digital memainkan peranan penting dalam pengurusan krisis.

Cabaran dalam era globalisasi

Dalam era globalisasi kini, informasi tersebar dengan cepat dalam talian khususnya semasa krisis, oleh itu organisasi perlu bertindak secara pantas melalui saluran digital berserta perancangan dan pengurangan kerosakan reputasi.

Walaupun revolusi digital membuka perspektif baharu dan peluang kepada PR, tidak dinafikan bahawa ia turut mengundang pelbagai cabaran kepada industri tersebut. Sebagai contoh, penggunaan media sosial yang meluas tanpa batasan menyukarkan PR untuk terus memantau dan berinteraksi terhadap mesej serta sentimen dalam talian dengan tepat.

Tambahan pula, peningkatan kebimbangan terhadap isu keselamatan data dan privasi dalam talian menempatkan tekanan kepada PR untuk memastikan kepatuhan kepada undang-undang ketika menangani isu-isu yang timbul.

Selain itu, kesesuaian kandungan dan gaya komunikasi PR dalam talian dipengaruhi oleh dinamika media sosial dan audiens justeru ia melibatkan penyesuaian strategik terhadap perubahan dalam trend komunikasi pada sesuatu masa.

Lanjutan daripada itu, isu pertumbuhan maklumat palsu (fake news) dalam talian pula mampu menyumbang kepada pelumpuhan reputasi organisasi. PR perlu berusaha mencari penyelesaian untuk mengatasi penyebaran maklumat palsu dan mengembalikan keyakinan audiens terhadap kebolehpercayaan maklumat yang disampaikan.

Tuntasnya, transformasi digital dalam industri PR bukan sekadar penerapan teknologi tetapi juga merangkumi perubahan ketara dalam pendekatan komunikasi strategik.

Di samping memantapkan hubungan dengan pihak berkepentingan, ia mencipta landskap PR yang lebih dinamik dan responsif dalam persekitaran digital.

Dr Ong Ai Ling

Artikel ini ditulis oleh Dr Ong Ai Ling, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Leisure, Taylor’s University.

Loading...
Terkini