comscore
Tumpuan :
Nasional

Rezeki tunai haji hadiah persaraan suami sebagai guru

Foto : NSTP

KUALA NERUS: Pernah memasang impian untuk menunaikan haji tahun lalu, Norhayati Ali 53 tahun tidak terkilan apabila tidak dapat menunaikannya.

Namun jika sudah rezeki, memang tidak dapat ditolak lagi.

Tahun ini segalanya berubah apabila beliau mendapat panggilan untuk menjadi tetamu Allah.

“Mungkin ini juga hadiah persaraan suami saya, Mohd Suhaimi Mohd Ghazali, 58, yang akan bersara wajib sebagai guru, pada 3 September nanti,” katanya yang ditemui pada majlis pelepasan bakal jemaah haji di Dewan Pelepasan Antarabangsa Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, malam tadi.

Norhayati yang tinggal di Kuala Berang dan merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu berkata dia mendapat berita gembira ini pada minggu kedua Ramadan lalu.

Termasuk Norhayati dan suami, seramai 139 orang jemaah terbabit dalam pelepasan itu.

Majlis pelepasan bakal jemaah haji itu disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam titah ucapan baginda, Sultan Mizan meminta jemaah haji sentiasa menjaga akhlak dan jauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej dan nama baik negeri Terengganu.

Titah baginda, semua jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin.

“Jemaah haji tidak perlu bimbang dan hanya perlu mempunyai niat yang ikhlas untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna selain memastikan semua nasihat dan arahan Tabung Haji dipatuhi,” titah Sultan Mizan.

Loading...
Terkini