comscore
Tumpuan :
Nasional

Riadah Ramadan: Kerlipan wau lampu LED warnai langit Kampung Panchor

Kerlipan wau lampu LED warnai langit Kampung Panchor

Oleh: Kumaran Rajamoney

PENDANG: Secara kelazimannya, langit malam dihiasi kerlipan bintang yang indah. Namun, Ramadan kali ini, membawa kemeriahan berbeza buat penduduk di Kampung Panchor, dekat sini yang langitnya diwarnai kerlipan lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) berwarna warni.

Cuaca panas di negeri Kedah mencetus idea sekumpulan anak muda di kampung ini memilih untuk menukar aktiviti bermain wau, dari waktu siang ke waktu malam.

Muhammad Ammar Mohd Kamal, 24 berkata, idea pemasangan lampu dibuat bagi memudahkan wau dilihat ketika dinaikkan, selain menarik apabila terbang tinggi di langit.

Kerlipan wau lampu LED warnai langit Kampung Panchor

“Tempoh masa untuk bermain wau juga akan menjadi lebih lama iaitu sekitar tiga sehingga empat jam dengan kumpulan wau terawal diterbangkan sekitar jam 11 malam.”

“Aktiviti santai yang pada asalnya disertai sekitar lima orang pemain wau kini sudah mampu menarik hampir 40 pemain yang rata-rata merupakan penduduk setempat,” katanya.

Muhammad Firdaus Ahmad, 26 tahun pula menjelaskan puluhan wau kini dihasilkan sendiri dengan kos sekitar hanya RM10 setiap satu, termasuk dengan pemasangan lampu LED dan dimainkan setiap malam.

“Bateri lampu bagi wau ini boleh bertahan sehingga empat hari. Cadangan kami adalah agar permainan ini diteruskan sehingga penghujung Ramadan, dan sepanjang musim sambutan Aidilfitri.”

Kerlipan wau lampu LED warnai langit Kampung Panchor

Sementara itu, bagi Timbalan Pengerusi Komuniti Penduduk Kg Panchor, Mohamad Mohd Saad, 65 tahun menyatakan aktiviti bermain wau pada waktu malam bukan sahaja dapat menjadi benteng kepada aktiviti tidak bermoral dalam kalangan remaja.

“Tidaklah mereka ini terlibat dengan permainan merbahaya seperti mercun, atau aktiviti lain. Malah, penduduk dari beberapa kampung bersebelahan seperti Kampung Bechah, Kampung Charok Kudung dan Kampung Bukit Kechil teruja dengan aktiviti ini dan hadir sama untuk menyertainya.”

“Anak rantau juga teruja melihat perkembangan aktiviti ini dan tidak sabar untuk pulang berhari raya dan merasai pengalaman yang sama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini