Tumpuan :
Nasional

Ribuan mangsa tanggung hutang lebih 3 kali ganda keupayaan kewangan – Azam Baki

Tan Sri Azam Baki.- Foto fail 

KUALA LUMPUR: Kebanyakan daripada ribuan mangsa, termasuk penjawat awam yang terlibat dengan sindiket perunding kewangan yang berjaya ditumpaskan dalam Ops Sky baru-baru ini, berkemungkinan tidak mampu melunaskan hutang pinjaman mereka.

Hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati mangsa dibebani dengan hutang yang terlalu tinggi, melebihi kemampuan kewangan mereka untuk membuat pembayaran.

Difahamkan, ada mangsa yang mempunyai hutang pinjaman mencecah sehingga tiga kali ganda daripada keupayaan kewangan mereka, sekali gus hutang itu dikatakan tidak akan selesai dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya mengesan ada mangsa yang mempunyai sehingga tiga ke empat pinjaman serentak dengan beberapa bank di negara ini.

Katanya, dalam siasatan itu, pihaknya mendapati ada mangsa yang mempunyai hutang mencecah sehingga RM1 juta pada satu-satu masa dan perlu membayar sehingga RM12,000 sebulan, melebihi jumlah gaji mereka setiap bulan.

“Dari segi impak kerugian kepada mangsa atau peminjam, mereka terbeban dengan hutang yang tinggi, iaitu melebihi kemampuan sebenar kerana kita mengesan ada yang tiga hingga empat kali ganda keupayaan maksimum mereka.

“Ini terjadi kerana dalang dikesan mampu memanipulasi sistem yang membabitkan dokumen palsu, termasuk pegawai bank.

“Sindiket dikesan merasuah pegawai bank yang kemudiannya memanipulasikan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam dengan memastikan pinjaman-pinjaman yang dibuat di beberapa bank diluluskan serentak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi melalui Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin.

Siasatan mengesan hampir RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket menawarkan bantuan kewangan, yang bermula sejak era pandemik COVID-19.

Sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan oleh SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang didalangi syarikat perunding kewangan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, risiko yang dihadapi oleh mangsa adalah rekod kredit mereka terjejas dan berisiko untuk dikenakan tindakan undang-undang seperti bankrap.

Beliau berkata, pihaknya masih perlu memanggil beberapa individu lagi untuk melengkapkan siasatan Ops Sky.

“Setakat ini, seramai 27 individu ditahan, membabitkan 18 pegawai bank, lapan pengarah syarikat dan seorang ejen,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini