comscore
Tumpuan :
Nasional

Risiko ‘perawat pokok’ berbaloi, raih gaji kayangan

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Demi pekerjaannya ‘merawat pokok’ Ku Zaharul Nizam Ku Zainol Abidin, 41, perlu memanjat sehingga ketinggian melebihi 30 meter termasuk berdepan ular mahupun serangga berbisa.

Beliau juga seringkali berdepan pelbagai risiko bahaya yang boleh meragut nyawa.

Itulah hakikat yang perlu ditempuh sebagai pemanjat pokok dan arboris, namun di sebalik kesukaran yang dialami, siapa sangka kerjaya itu membolehkannya meraih pendapatan lima angka.

Mungkin kedengaran agak lucu jika diberitahu bahawa pokok di tepi jalan juga sebenarnya mempunyai ‘doktor’ yang merawat tumbuhan itu bagi memastikannya hidup subur dan sempurna.

Di sinilah, peranan Ku Zaharul atau lebih mesra dipanggil Pak Ku mencurah keringat, menjaga pokok bersaiz besar dan berusia demi keselamatan orang awam.

Kerjayanya sebagai perawat pokok bermula sebagai pemanjat sejak 17 tahun lalu.

Dengan kelebihan memiliki sijil sebagai renjer hutan, beliau kemudian diberi peluang majikan menerokai minatnya itu untuk bergelar arboris.

“Tipulah jika saya cakap, setiap kali nak memanjat hati saya tidak berdebar-debar. Namun inilah punca rezeki dan saya selalu sematkan dalam hati, kerja ini dilakukan untuk mencari pendapatan keluarga.

Lazimnya ketika panjat ke dahan yang paling tinggi, jantung saya akan berdegup laju…tetapi apabila sudah berada di puncak perasaan itu beransur hilang dan saya seterusnya dapat melakukan pekerjaan seperti biasa,” katanya.

Pak Ku berkata di Malaysia hanya ada kira-kira 20 pemanjat yang mempunyai pengetahuan arboris, mengendalikan tumbuhan berkayu dari segi pemantauan keadaan kesihatan,pereputan dan kesesuaian spesies yang boleh ditanam di sesuatu kawasan.

Ibarat ‘hero tidak didendang’, tugas penyelenggaran mereka terhadap pokok, dapat mengurangkan risiko bahaya seperti insiden kenderaan dihempap pokok tumbang serta kemalangan jiwa.

Tambahnya, sebagai perawat pokok, sudah tentu tidak terlepas daripada berdepan dengan gangguan ‘mistik’ ketika melakukan penyelenggaran namun itu semua disimpan sebagai pengalaman dan kenangan.

Beliau turut mendedahkan pengalaman mendebarkan ketika baharu sahaja tiba di bahagian atas pokok, tidak semena-mena ular kapak hampir mematuknya.

Mujur beliau sempat mengelak dan keadaan itu dikawal dengan tenang tanpa melibatkan sebarang kecederaan.

“Sebenarnya pendedahan mengenai arboris ini sudah diperkenalkan di negara ini sejak 2008, pekerjaannya meluas namun sayang masih ramai yang tak tahu kerjaya ini boleh menerima pendapatan lumayan…lagi banyak jumlah pokok dirawat, lagi tinggi bayaran diperoleh,” katanya.

Diam tak diam, sudah 5,000 pokok dipanjat dan dirawat anak kelahiran Alor Setar ini.

Ku Zaharul turut berharap kerjaya ini mempunyai lebih ramai pelapis sekaligus memastikan pokok yang menghiasi bandar raya selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada orang awam.

Loading...
Terkini