comscore
Tumpuan :
Nasional

Rizab air Selangor cukup menjelang 2030

FOTO : Amirudin Shari / Facebook

BANTING: Selangor dijangka mempunyai margin rizab air mencukupi dengan kapasiti keseluruhan 8,765 juta liter sehari (JLH) menjelang 2030.

Ia menerusi beberapa projek Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang dan akan dibangunkan di negeri berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek pembinaan LRA Sungai Rasau, LRA Langat 2 dan LRA Labohan Dagang adalah usaha dalam memastikan bekalan air mencukupi dan lestari bagi menampung keperluan penduduk Selangor dan Lembah Klang.

“Dengan adanya LRA ini, secara keseluruhan kita akan mempunyai margin rizab yang mencukupi dan keupayaan dalam memastikan bekalan air tidak terganggu ketika berlaku pencemaran serta gangguan bekalan air.

“Pembinaan semua LRA ini meningkatkan keupayaan 41.5 peratus menjelang 2030 iaitu kapasiti pengeluaran air sehingga 8,765 JLH,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di tapak projek LRA Sungai Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting, Selangor.

Beliau menjelaskan projek LRA Labohan Dagang fasa pertama kini selesai dan sudah beroperasi sekali gus mampu memastikan Kuala Langat dan sebahagian Sepang tidak terganggu jika berlaku pencemaran di Sungai Selangor.

Katanya, pembinaan LRA Sungai Rasau juga tidak bergerak sendirian kerana pada masa sama kerajaan negeri akan memulakan fasa kedua LRA Labohan Dagang yang mana selepas ia siap, Kuala Langat akan menjadi daerah terakhir yang terkesan jika berlaku pencemaran.

“Fasa kedua (LRA Labohan Dagang) akan menambah kapasiti 200 JLH dengan anggaran kos sebanyak RM480 juta yang dijangka siap menjelang 2029,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, LRA Sungai Rasau menjadi antara LRA paling besar dan termaju di Asia Tenggara dengan kemampuan menghasilkan bekalan air bersih sebanyak 1,400 juta liter sehari JLH.

Jelasnya, fasa pertama menelan belanja RM3.4 bilion dan fasa kedua pula RM2.4 bilion dan pembinaan memerlukan perbelanjaan besar kerana terpaksa melaksanakan proses bukan sahaja pembinaan, teknologi moden seperti ozon tetapi juga pengambilan tanah dengan kos yang tinggi.

Loading...
Terkini