comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rizab LTAT negatif: PAC panggil pihak berkaitan selepas Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semua pihak berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi memberi penjelasan berhubung laporan bahawa rizab kewangan agensi itu dalam kedudukan negatif.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding akan dilakukan selepas Aidilfitri nanti dan tidak menolak kemungkinan mereka yang akan dipanggil termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Tambahnya, individu lain yang akan dipanggil termasuk bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar.

“PAC amat bimbang dengan kewangan LTAT selepas pendedahan bahawa rizab LTAT berbaki negatif sekaligus menimbulkan persoalan kemampuannya membayar dividen kepada pencarum,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) semalam mendedahkan LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan berjumlah RM812 juta dalam syarikat subsidiari.

Menurut LKAN, penjejasan nilai pelaburan yang tidak dibuat dan pembayaran dividen kepada pencarum berasaskan keuntungan bukan tunai boleh menyebabkan LTAT menghadapi risiko kecairan tunai pada masa hadapan

“Ketua Audit Negara dalam pembentangannya semalam menyenaraikan tiga agensi yang perlu diberikan perhatian oleh PAC untuk dipanggil bagi prosiding iaitu FELDA, LTAT dan PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia) berikutan terdapat masalah dalam Penyata Kewangan 2022, PAC sudah membuat keputusan untuk memanggil LTAT terlebih dulu,” kata Mas Ermieyati.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata pada persidangan kali ini, PAC akan membentangkan enam lagi laporan selepas Laporan Kemajuan Projek Pembangunan kapal tempur pesisir (LCS) kedua yang sudah dibentangkan pada 29 Februari lalu.

“Pembentangan semua laporan itu menjadikan jumlah laporan PAC yang dibentangkan adalah sebanyak tujuh laporan iaitu empat laporan PAC dan 3 laporan tindakan susulan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini