Tumpuan :
Nasional

RM1.03 juta bayaran saman dikutip pada hari pertama 2TM

KUALA LUMPUR: Bayaran sebanyak RM1.03 juta berjaya dikutip daripada 11,600 saman yang dilunaskan orang ramai pada hari pertama Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata jumlah kutipan itu direkodkan setakat jam 3 petang dengan kehadiran hampir 3,000 pengunjung.

Beliau berkata, program bayaran saman akan diteruskan hingga jam 6 petang Ahad.

“Kita juga sedang dalam perancangan untuk memperluaskan lagi kempen bayaran atau diskaun untuk bayaran saman ini.

“(Jadi) kita menggunakan 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 ini sebagai penanda aras (benchmark) atau pelancarannya untuk kita memperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang.

“Mungkin kita akan memulakannya pada bulan depan tetapi kita selesaikan dahulu program diskaun 60 peratus ini (hingga Ahad).

“Kita akan bermesyuarat seawal pertengahan bulan depan sama ada kekalkan kadar diskaun (60 peratus), mungkin 30 peratus, mungkin 50 peratus,” katanya pada sidang media selepas meninjau perjalanan kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 60 peratus sempena program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di KLCC hari ini, hari ini.

Sebanyak 25 kaunter termasuk tujuh untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita mengandung membayar saman dibuka pada jam 9 pagi bermula hari ini sehingga Ahad.

Mohd Yusri berkata, orang ramai diharap memanfaatkan peluang membayar tunggakan saman di kaunter atau menggunakan perkhidmatan 21 mesin e-pembayaran yang disediakan serta menyediakan kemudahan 520 kerusi untuk menunggu.

“Jadi kita harap orang ramai menyegerakan segera pembayaran saman supaya tidak dikenakan tindakan undang undang seperti waran tangkap ataupun hukuman.

“Dengan pembayaran tunggakan saman, pesalah tidak akan disenaraihitamkan, berdepan kesukaran ketika memperbaharui cukai jalan, lesen dan lain-lain.

“Ini tujuan kita mengadakan diskaun saman 60 peratus untuk semua kesalahan kecuali bagi kesalahan yang disenaraikan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini