comscore
Tumpuan :
Nasional

RM1.2 juta sumbangan rakyat Malaysia disalurkan kepada mangsa gempa

Pasukan perubatan memberikan rawatan kesihatan. – Foto: Ihsan MRA

KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) menyalurkan bantuan bernilai RM1.2 juta kepada 642,000 individu di Turkiye dan Syria yang terkesan dengan bencana gempa bumi pada Februari lalu hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia sehingga 30 April lalu.

Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, pihaknya membuka sebuah pejabat satelit di Gaziantep sejak beberapa bulan lalu untuk memastikan koordinasi bantuan kecemasan dapat disampaikan dengan berkesan.

“Antara sumbangan yang disampaikan adalah bakul makanan, kit kebersihan, barangan serta susu bayi, sumbangan khemah, alatan pemanas, pakaian musim sejuk dan makanan bermasak.

“Terdapat keperluan mendesak untuk khidmat kesihatan kepada penduduk akibat kecederaan gempa dan penyakit selepas gempa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, MRA menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dan kesihatan percuma melalui klinik bergerak serta klinik statik di khemah penempatan kepada hampir 2,000 keluarga menggunakan khidmat doktor dan paramedik terlatih.

“MRA juga menghantar doktor pakar, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat dari Malaysia untuk bersama-sama membantu merawat pesakit di sana.

“Di samping itu, tiga kilang roti yang rosak akibat gempa bumi sudah dibaik pulih oleh MRA di daerah Jenderis, Syria.

“Ketiga-tiga kilang ini menghasilkan 15,000 keping roti setiap hari dan diedarkan bagi menampung keperluan 60,000 keluarga yang memerlukan di sana,” katanya.

Beliau berkata, projek itu dijangka berterusan sehingga akhir tahun dan akan mengurangkan beban mereka yang kehilangan pendapatan.

“Projek Infaq Ramadhan MRA di Turkiye dan Syria diteruskan dengan melaksanakan program berbuka puasa yang memberi manfaat kepada 3,125 keluarga.

“Bakul makanan yang terdiri daripada makanan asas bulanan dan masakan panas juga diedarkan supaya mereka meraikan bulan ini dengan penuh kegembiraan,” katanya.

Katanya, bagi meneruskan bantuan MRA di Turkiye dan Syria, MRA melancarkan projek ‘Baitul Syukur’ iaitu pembinaan rumah penempatan jangka panjang berharga RM13,500 setiap satu.

“Ia akan memanfaatkan lebih 220 keluarga kehilangan tempat tinggal dan masih tinggal di dalam khemah sementara yang daif dengan mensasarkan RM3 juta untuk keseluruhan projek itu.

“MRA juga akan meneruskan kerjasama dengan syarikat perkapalan Northport untuk menghantar tiga kontena barangan keperluan seperti makanan, barangan bayi, alatan perubatan dan pakaian untuk dihantar ke Syria melalui jalan laut dari Malaysia ke pelabuhan di Turkiye,” katanya.

Justeru itu, katanya, MRA mahu membuka peluang kepada rakyat Malaysia dan syarikat korporat yang mahu menyumbang untuk projek ‘Baitul Syukur’ dan barangan keperluan asas untuk dihantar ke Syria melalui jalan laut.

“Segala sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank di atas nama ‘Malaysian Relief Agency Berhad’ dengan no akaun 5640-9820-8020 atau hubungi 03-91744672 untuk pertanyaan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini