comscore
Tumpuan :
Bencana

RM1.9 juta nilai kerosakan masjid, surau akibat banjir Johor

Keadaan banjir di Masjid Jamek Parit Warijo, Seri Medan, Batu Pahat, Johor, minggu lalu – FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menganggarkan nilai kerosakan masjid dan surau di negeri ini yang terjejas akibat banjir sejak 28 Februari lalu, mencecah RM1.9 juta setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, JAINJ belum dapat memperincikan nilai kerosakan sebenar, berikutan banjir masih belum pulih sepenuhnya, terutamanya di Batu Pahat dan Muar.

“Kerosakan paling besar akibat bencana banjir membabitkan permaidani masjid dan surau yang ditenggelami banjir menyebabkan ia rosak sepenuhnya dan perlu dilupuskan.

“Kosnya amat besar dan ia perlu dibaik pulih segera bagi memastikan ia tidak merosakkan struktur masjid atau surau, selain untuk keselesaan jemaah.

“Selain itu, terdapat juga kerosakan mimbar, alat siar raya dan perabot yang musnah. Ada juga masjid dan surau mengalami kerosakan tandas dan kemudahan ruang solat.

“Oleh itu, JAINJ akan menyalurkan bantuan sekali beri RM20,000 bagi membaik pulih kerosakan yang dialami masjid dan surau terjejas, namun jika ia membabitkan kerosakan besar, kita akan mohon daripada Kerajaan Pusat untuk bantuan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, 41 masjid dan surau di negeri ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), sejak 28 Februari lalu.

Katanya, kebanyakan PPS masjid dan surau itu sudah ditutup secara berperingkat berikutan keadaan yang semakin pulih kecuali beberapa kawasan di Batu Pahat dan Muar.

Berdasarkan pecahannya, masjid dan surau dijadikan PPS di negeri ini membabitkan Segamat (enam masjid, 10 surau), Tangkak (sebuah masjid, dua surau), Muar (sebuah masjid, empat surau) manakala Batu Pahat paling banyak iaitu 28 masjid dan 44 surau.

Selain itu, Kluang (tiga masjid, tiga surau), Mersing (dua masjid) dan Kota Tinggi (dua masjid, dua surau).

Sementara itu, Mohd Fared berkata, dianggarkan 100 tan al-Quran, kitab agama dan buku mengandungi petikan al-Quran, musnah akibat banjnir.

Katanya, angka sebenar mungkin lebih tinggi berikutan bencana kali ini antara terburuk yang pernah dialami Johor.

“Di Batu Pahat sahaja, kira-kira 50 tan al-Quran, kitab agama dan buku mengandungi petikan al-Quran musnah.

“Pejabat Kadi Daerah sudah diarahkan mewujudkan pusat pengumpulan al-Quran, kitab agama dan buku mengandungi petikan al-Quran yang rosak atau musnah.

“Ia bagi mangsa banjir termasuk masjid, surau, sekolah agama dan kediaman menghantar semua kitab suci yang rosak atau musnah, supaya proses pelupusan dapat dibuat mengikut syariat.

“Semua mangsa banjir juga diharap menyerahkan semua kitab suci milik mereka yang rosak atau musnah kepada Pejabat Kadi Daerah bagi pelupusan dilakukan dengan segera,” katanya.

Loading...
Terkini