comscore
Tumpuan :
Nasional

RM1 juta untuk pusat kecemerlangan kursus berkaitan AI – PM

FOTO: NSTP

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk para pengamal media.

Beliau berkata peruntukan itu selaras dengan seruan agar warga media turut sama mendalami dan menguasai penggunaan teknologi termask AI ketika menjalankan tugasan mereka.

“Kita minta Bernama bantu selaraskan beberapa kegiatan, sekarang ini Pusat Kecemerlangan Bernama diminta supaya menambah kursus, latihan terutama dalam bidang teknologi AI untuk pengamal media, kita luluskan RM1 juta untuk maksud itu,” katanya ketika berucap di majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini.

Pusat Kecemerlangan Bernama bertanggungjawab menyediakan program latihan yang berkaitan dengan kakitangannya dan juga agensi-agensi kerajaan mahupun syarikat korporat, selain turut menguruskan permohonan penuntut institut pengajian tinggi bagi menjalankan latihan industri di organisasi itu.

Keseriusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem AI dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif seperti ’AI Untuk Rakyat’ yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang teknologi itu dan AI Sandbox 2024 yang menyasarkan penubuhan 900 syarikat pemula AI dan 13,000 bakat baharu menjelang 2026.

Sebelum ini Perdana Menteri turut melancarkan tiga lagi inisiatif iaitu Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030, Fakulti AI (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Konsortium AI Malaysia (MAIC).

Sambutan HAWANA adalah acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan edisi tahun ini berlangsung di Sarawak, mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan”.

Wakil persatuan, kelab media dan wartawan yang hadir adalah dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait, yang telah berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu lepas.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak manakala Bernama adalah agensi pelaksana.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media tempatan kepada negara. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini