comscore
Tumpuan :
Nasional

RM12.5 juta tambah baik akses, fasiliti SK Ulu Ansuan – KPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara bagi menjamin kesejahteraan serta kebajikan guru, murid dan seluruh warganya.

KPM dalam kenyataan media malam ini, berkata ini berikutan video tular guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid di Sabah yang tidak memiliki kediaman dan terpaksa tinggal di stor sekolah.

Katanya, penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan sudah dilaksanakan, membabitkan pembinaan blok akademik, pentadbiran dan kemudahan lain, termasuk pembelian perabot sedang rancak dibuat.

Kenyataan sama turut menjelaskan pembinaan empat kuarters baharu di sekolah berkenaan sudah diluluskan ketika pembentangan Belanjawan 2024.

“KPM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah.

“Semua projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan membabitkan kos keseluruhan bernilai RM12.5 juta.

“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di SK Ulu Ansuan pula, KPM sudah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000,” katanya.

Media semalam, melaporkan Guru Besar SK Ulu Ansuan, George Odol, mendedahkan pengalamannya tinggal di stor sekolah lebih tiga tahun sejak berkhidmat di sekolah berkenaan.

Beliau yang akan bersara wajib daripada perkhidmatan perguruan pada 27 November ini, ditugaskan KPM di sekolah berkenaan, pada 2020.

George dipetik berkata, guru di sekolah itu terpaksa menumpang di rumah penduduk kampung dan kelas yang diubah suai, selain dua rumah ala kadar sebagai kemudahan bagi cikgu, dibina di atas keprihatinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Namun, George mengakui, tidak kesal sebagai guru dalam kalangan etnik Kadazan Dusun yang terpaksa mengorbankan keselesaan menetap di kawasan pekan atau di bandar, semata-mata untuk mengajar di sekolah pedalaman.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini