comscore
Tumpuan :
Bencana

RM168 juta kos baiki jalan, cerun rosak akibat banjir Johor

Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika meninjau proses pengepaman air bah di Batu Pahat, Jumaat lalu.

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak RM168 juta diperlukan negeri ini bagi membaiki jalan dan cerun runtuh yang rosak akibat bencana banjir besar, sejak 28 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata laporan kerosakan itu sudah diserahkan bersama permohonan kepada kerajaan Persekutuan.

Katanya, antara lokasi cerun runtuh yang dikenalpasti ialah Jalan Ulu Tiram dekat Felda Ulu Tebrau dan laluan Felda Chemplak, Segamat.

Manakala bagi kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, terdapat 36 lokasi cerun runtuh yang dilaporkan.

“Pembaikan cerun runtuh memerlukan kajian teknikal sebelum sebarang kerja-kerja dilakukan. Selain itu, struktur tanah juga perlu dipastikan kukuh, benar-benar kering tiada air dipermukaan jalan.

“Disebabkan itu, kerja-kerja pembaikan cerun memakan masa yang agak panjang sekurang-kurangnya tujuh bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini.

Pada 6 Mac lalu, media melaporkan lebih 50 kerosakan jalan raya dikenal pasti berlaku akibat bencana banjir membabitkan lapan daerah yang terjejas teruk di negeri ini.

Kerosakan itu membabitkan jalan-jalan utama di daerah Segamat, Mersing, Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli memaklumkan, kerajaan negeri telah menghantar permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukkan supaya kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan dapat dilaksanakan segera.

“Kos RM168 juta itu adalah anggaran awal dan dijangka ia akan meningkat kerana masih banyak kawasan terjejas banjir terutama di Batu Pahat dan Muar masih belum pulih sepenuhnya daripada bencana itu.

“Kita berharap kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan segera peruntukkan yang dimohon Johor supaya kita dapat melaksanakan kerja pembaikan dengan segera” katanya.

Loading...
Terkini