comscore
Tumpuan :
Nasional

RM2 juta baiki cerun runtuh Kampung Panchor

Teo Kok Seong (enam dari kiri) mewakili Menteri Besar pada majlis penyerahan Projek Membina dan Membaiki Cerun Runtuh Rumah Rakyat Panchor.

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membelanjakan RM2 juta bagi membina dan membaiki cerun runtuh di Rumah Rakyat Panchor, di sini, yang berlaku sejak lebih lapan tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata cerun runtuh di kawasan berkenaan dikesan berlaku sejak 2014 akibat gelongsoran tanah yang disebabkan hujan lebat.

Katanya, seramai 110 ahli keluarga daripada 21 rumah sepanjang 180 meter di kawasan berkenaan terkesan akibat runtuhan itu, sekali gus menjejaskan keselamatan mereka.

“Tindakan awal yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah menutup kawasan tanah runtuh dengan kanvas berikutan tanah di kawasan runtuhan adalah tanah milik individu.

“Namun demi keselamatan penduduk kawasan terbabit secara menyeluruh dan jangka panjang, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri diminta melaksanakan kerja-kerja membina serta membaiki cerun berkenaan yang dimulakan tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 17 November lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, pada Majlis Penyerahan Projek Membina dan Membaiki Cerun Runtuh Rumah Rakyat Panchor di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim; Pengarah JKR negeri, Wan Hasnan Wan Musa dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zainal Hussin.

Aminuddin yakin dengan siapnya projek berkenaan, penduduk di kawasan itu akan lebih selesa dan selamat untuk terus mendiami rumah masing-masing.

“Penduduk setempat boleh mengemukakan aduan sekiranya terdapat kecacatan berlaku sepanjang tempoh ini kepada pihak JKR dan JKR akan terus memantau struktur binaan ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Hasnan ketika ditemui berkata, dalam tempoh dua bulan ini, JKR negeri menerima empat aduan berkaitan tanah runtuh yang berlaku sekitar daerah ini dan Rembau.

Beliau berkata, pihaknya bertindak proaktif dalam usaha memperbaiki kawasan runtuhan berkenaan.

Loading...
Terkini