comscore
Tumpuan :
Nasional

RM25 bilion kerugian akibat nahas jalan raya tahun lalu – MoT

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Negara menanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu yang mewakili 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding anggaran kerugian pada tahun terdahulu.

“Berdasarkan statistik kematian dan kecederaan parah dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan perangkaan kemalangan jalan raya dan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP), negara dianggarkan mengalami jumlah kerugian hampir RM18 bilion pada 2010 iaitu 2.2 peratus daripada KDNK.

“Ia meningkat kepada lebih RM25 billion pada 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Pang Hok Liong (PH-Labis) meminta penjelasan jumlah kerugian ditanggung akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan langkah efektif diambil bagi mengatasi masalah itu.

Mengulas langkah efektif dijalankan bagi mengatasi masalah itu, Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MoT) membangunkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022- 2030 (PKJRM 2022-2030).

“Penetapan PKJRM 2022-2030 adalah untuk mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang 2030.

“Ia selaras dengan seruan dan sasaran Resolusi 74/299, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Selain itu, katanya, MoT dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang meneliti pelaksanaan pembangunan berasaskan konsep Transit Oriented Development (TOD).

Melalui inisiatif itu, ia bermatlamat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian bagi memenuhi keperluan mobiliti individu, selain menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

Jelasnya, melalui kerjasama rentas kementerian itu, secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko nahas jalan raya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini