Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Bagi tempoh 2018 hingga 2021, sebanyak RM374 juta tunggakan Sumbangan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) sudah dijelaskan oleh penjana tenaga bebas (IPP).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, manakala RM68 juta masih dalam proses pembayaran.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, kesemua syarikat penjana elektrik komited untuk menyelesaikan tunggakan dan sumbangan kepada AAIBE
“Jumlah tunggakan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik dari tempoh 2018 hingga 2021 adalah sebanyak RM442 juta.
“Yang telah dibayar adalah sebanyak RM374 juta, dalam proses pembayaran adalah sebanyak RM68 juta.
“Kesemua syarikat penjana elektrik ini telah memberikan kerjasama dan komitmen yang baik untuk menyelesaikan tunggakan mahupun sumbangan tahun semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, pihak kementerian sentiasa konsisten memantau perkara berkenaan memalui Mesyuarat Jawatankuasa AAIBE dan bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan syarikat terlibat untuk membantu mereka melunaskan sumbangan.
Setakat 30 september, jumlah dana AAIBE terkini bernilai lebih RM866 juta.
Daripada jumlah itu, lebih RM606 juta merupakan pelaburan tetap manakala, lebih RM147 juta diperuntukkan bagi projek komited sedia ada.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.